PENGENALAN
Simpulan bahasa merupakan salah satu cabang dalam peribahasa iaitu yang dapat digunakan dalam aktiviti penulisan dalam menghasilkan sebuah karangan yang gramatis. Menurut Zaa’ba, peribahasa ialah susunan cakap yang pendek, yang telah melekat di mulut orang sejak berzaman-zaman. Hal ini kerana ungkapan yang menarik dan sedap didengar serta mempunyai maksud yang mendalam digunakan oleh orang ramai teladan dan bahan pengajaran. Menurutnya lagi, penerbitan ungkapan sesuatu peribahasa adalah asalnya dari individu atau sekumpulan manusia. Penggunaan simpulan bahasa yang menjadi semakin berkurangan dipandang serius kerana bimbang akan kepupusan nilainya yang tersendiri.
Simpulan bahasa merupakan perkara tambahan dalam aktiviti penulisan bahasa Melayu untuk menunjukkan keistimewaan dan kekayaan bahasa Melayu itu sendiri. Sekiranya murid dapat menguasai simpulan bahasa dan memahami ertinya, maka maksudnya yang mendalam akan mudah difahami dan diambil teladan oleh murid. Oleh hal yang demikian, kajian membuktikan bahawa pelajar masih tidak mampu memahami dan menguasai simpulan bahasa dengan baik. Ini menjadikan bahasa Melayu kelihatan tidak menarik dan diambil mudah oleh semua pihak.